PANDUAN MENINGKATKAN SIMPANAN EMAS KELUARGA (akhir)
Panduan lain ialah:
1.Tetapkan target simpanan setiap anak anda.Contohnya anda ada 2 orang anak dan ingin kan setiap seorang dari mereka mempunyai simpanan emas sebanyak 150g bila dah berumur 18 tahun nanti.Kiraannya begini:
Umur anak sekarang : 3 tahun
18- 3 = 15 tahun
150g / 15 tahun = 10g setahun
Jadi,untuk capai target tersebut anda harus simpan 10g setahun untuk anak anda tersebut.Ini adalah contoh pengiraan dan anda harus mengira mengikut target anda sendiri dan umurnya.
Anda juga boleh rancang simpanan emas untuk pendidikan anak anda.Katakanlah kos sekarang untuk sambung belajar ke IPT adalam RM30k,maybe menyimpan 150g seorang sudah mencukup untuk menanggung kos tersebut nanti.Harga 100g emas 24 sekarang RM190+ dan sudah mencecah lebih RM200+ tempoh hari.Dijangkakan harga emas akan sampai kemuncak pada tahun 2012 atau 2015.Pada masa itu,harga emas akan menjadi terlalu mahal dan hanya mampu dibeli oleh orang-orang kaya.
2. Simpan 100g atau 15 keping dinar jika anda ingin menunaikan haji.
3.Simpan untuk diri sendiri dan niat juga untuk diinfakkan sebahagiannya mengikut kemampuan anda.
4.Simpan 100g untuk kos perkahwinan dan dinar boleh dibuat hantaran.Nilai hantaran bakal isteri anda makin lama makin naik.
Banyak lagi contoh lain yang anda boleh rancang mengikut bajet dan keperluan masing-masing.
Bermulalah sekarang,walaupun dengan 1 dinar.
PANDUAN MENINGKATKAN SIMPANAN EMAS KELUARGA (4)
3.Beli secara konsisten
Lihat kepada perbelanjaan bulanan anda.Rancang dan buat bajet semula dan cuba kurangkan kos dengan berjimat cermat dan kurang perbelanjaan yang tidak perlu.Contohnya,ramai kaum wanita yang suka menghabiskan wang membeli pakaian,tudung mengikut trend,beg baru,kasut baru dan pelbagai aksesori.Cuba anda kira balik berapa yang telah dihabiskan dan jangan terkejut dengan jumlahnya nanti.Barang-barang tersebut semuanya susut nilai,sampai masa anda harus tukar yang baru kerana sudah ketinggalan dan rosak.Apakah tip yang saya praktik?Beli mengikut keperluan dan saya tidak mengikut trend kerana bagi saya satu pembaziran.Setiap kali ada fesyen baru ,maka ramailah yang akan membeli dan menghabiskan wang supaya kelihatan up to date.Bayangkan jika wang tersebut anda jimatkan dan simpan dalam bentuk emas,bukankah semakin bernilai.
Ini juga dapat dilihat dengan trend menukar handphone baru dan pelbagai gajet yang canggih.Mampukah anda mengikut perubahan semasa yang tidak berkesudahan ini?Saya lebih selesa menggunakan gajet sedia ada walaupun kelihatan ketinggalan zaman kerana saya dapat gunakan hasil penjimatan tersebut ke tempat yang betul.Malah saya bersyukur kerana dapat menjadi salah seorang yang dapat mengawal hawa nafsu.
Belilah secara konsisten setiap bulan,contohnya:
1 bulan 1 dinar , 1 bulan 10g , 1 bulan 20g atau ikut kemampuan dan kewangan anda.
Sabar dalam simpanan emas kerana hasilnya pasti akan buat anda tersenyum.Biar sedikit asalkan bermula dan elakkan dari bercita-cita nak beli yang besar terus,akhirnya tak beli-beli.Sikit-sikit lama-lama pasti jadi bukit.
PANDUAN MENINGKATKAN SIMPANAN EMAS KELUARGA (3)
2.Beli semasa harga murah
Jika diperhatikan,setiap tahun ada trend di mana harga emas akan jatuh sedikit.Bagi pembeli baru yang ingin bermula,ada yang ingin memilih waktu murah untuk membeli,namun anda harus rajin memantau harga emas ini.Bagi yang sudah lama menyimpan emas dan ada sedikit pengetahuan tentang pergerakan harga emas ,masa harga emas murah ini ramailah yang akan mengambil kesempatan untuk restock dan borong.
Salah satu teknik kedai emas,yang boleh juga digunapakai oleh anda jika anda pengedar emas.Mereka akan borong emas semasa awal tahun,atau harga murah,dan jual semasa perayaan yang biasanya pada hujung tahun,dan masa tu harga dah mahal.Sebab tu jika anda lihat,ada kedai emas yang sepi dari pelanggan tapi tetap bertahan kerana mereka dah untung besar bila perayaan.Jika anda pengedar emas mobile macam saya pun boleh gunakan teknik ini.Tapi janganlah tunggu hujung tahun baru nak jual,ada cara lain pula untuk tetap dapat untung walaupun jual semasa harga emas murah.Yang pasti dengan cara ini simpanan emas anda bertambah.
Jika anda tiada masa untuk pantau harga,maka beli sahaja kerana untuk jangka masa panjang anda tidak rugi.Melainkan anda jual sebelum sempat menikmati kenaikan harga emas.
PANDUAN MENINGKATKAN SIMPANAN EMAS KELUARGA (2)
gambar hiasan: pelbagai bentuk emas yang boleh didapati..
Kaedah yang betul ialah beli dan simpan-ini pun anda dah boleh untung.Tak perlu buat apa-apa.Teknik termudah :
1.Beli bila ada wang
Jika anda ada duit simpanan di bank,bolehlah keluarkan dan simpan emas pula.Tinggalkan sedikit sahaja untuk kegunaan on the spot dan kecemasa segera.Produk emas sekarang sangat mudah ditukarkan dengan wang kertas bila perlu kerana agen-agen emas sangat ramai,dan mereka sedia membeli emas anda bila-bila masa.Tak percaya?Inilah adalah fakta
Dahulu saya sering mendengar alasan “emas susah nak jual balik,lambat nak cairkan”.Hakikatnya saya sendiri pernah jual emas sehingga lewat malam sebab pelanggan saya tersebut keretanya rosak dan perlukan wang segera.Ada juga rakan dealer saya yang dihubungi pelanggannya dan mereka jumpa di pasaraya sebab dia nak bershopping dengan duit jual emas.So,tanggapan emas susah nak dicairkan (tukar emas kepada wang kertas) sangatlah tidak tepat dengan situasi sekarang.
Mungkin anda juga boleh beli jika anda mendapat bonus atau keuntungan hasil perniagaan.Sama macam saya,jika perniagaan gerai kami dapat untung,saya akan cepat-cepat beli emas,ikut kemampuan.Dapatlah 1 dinar atau sekurang-kurangnya 10g sebulan hasil keuntungan,dan selebihnya untuk kegunaan lain akan saya asingkan.Bila perlukan modal untuk besarkan biz barulah saya jual,dan biasanya harganya lebih tinggi dari waktu saya mula-mula beli.Jika tidak perlukan modal dan tiada keperluan,saya akan simpan sahaja dan kalau ada pelanggan yang nak beli,saya akan jual dan restock semula dengan harga yang murah.Emas dapat,untung pun dapat,yang penting,kekalkan gram.
PANDUAN MENINGKATKAN SIMPANAN EMAS KELUARGA (1)
contoh: lambakan wang kertas yang tiada lagi nilai dipasaran~
Ramai orang yang bercerita tentang emas sekarang ni.Macam-macam versi yang boleh didengar dan dibaca di internet,antaranya :
“pelaburan emas ni dapat duit bulan-bulan,dividen ini akan dapat selagi kita simpan emas” -skim
“beli emas dengan modal hanya RM5k,kita boleh dapat emas 100g,emas disimpan di bank” – sistem ar rahnu 35:65
“beli emas jenama X ni murah sangat berbanding emas syarikat lain” -spread sangat besar ,sehingga 20%
“simpan emas tak rugi,harga naik je ” – jangka masa panjang,benar
“beli saham emas dapat dividen dan pulangan lumayan,syarikat dikenali seluruh dunia” – scam
Bagaimanakah kita nak pastikan yang kita menggunakan kaedah dan teknik simpanan emas yang betul?
Mudah sahaja!
Pastikan anda beli emas,dapat emas dan rancanglah simpanan anda mengikut keperluan sama seperti anda pernah menyimpan di bank sebelum ini.Ramai yang berlumba-lumba menyimpan seberapa banyak wang di bank,walaupun kadar pulangannya sangat rendah,dan jika tinggi sekalipun dividen tersebut,akan menjadi kurang semula atas faktor susut nilai wang kertas.
APA SAHAJA ANDA BOLEH MEMILIKI EMAS JIKA BETUL DENGAN CARANYA~
BELI EMAS GUNA DUIT KUTU
BANGGA…Kamariah menunjukkan sebahagian barangan kemas hasil kegigihannya bermain kutu.
“KALAU diikutkan, semua orang ada saja benda mahu dibeli, termasuk saya yang sentiasa terfikir untuk membeli emas. Disebabkan mahal, saya terpaksa bermain kutu dengan rakan untuk memiliki emas,” kata peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kamariah Md Hanafi, 50.
Kamariah menganggap membeli emas sebagai pelaburan menguntungkan kerana ia boleh dijadikan aset berikutan harganya sentiasa meningkat.
Katanya, bermain kutu cara paling praktikal bagi mereka yang tidak mampu atau tidak memiliki banyak wang.
“Saya menempah barang kemas sebulan sebelum menerima duit kutu. Sebaik menerima wang, saya terus ke kedai emas dan mengambil tempahan.
“Sebagai contoh, setiap seorang daripada 25 pemain kutu membayar RM50 sehari. Kami membuat cabutan 10 hari sekali dan setiap penerima mendapat RM12,500.
“Kaedah ini dilakukan sejak bertahun-tahun lalu dan ia membantu kami mengumpul banyak wang pada satu-satu masa,” katanya.
Dia yang berniaga ayam segar sejak 24 tahun lalu mengakui perniagaannya banyak membantunya memberi pendapatan tetap, sekali gus membolehkannya menyertai rakan lain bermain kutu.
Katanya, permainan kutu tidak tamat selepas masing-masing mendapat habuan, sebaliknya diteruskan supaya setiap pemain mempunyai sumber kewangan sampingan.
“Jika mahu lebih banyak wang kutu, saya akan memasukkan tiga nama iaitu anak dan adik sebagai penama.
“Itupun terpulang kepada sasaran yang hendak dibeli dan memang satu kepuasan apabila mendapat duit kutu kerana ia juga boleh digunakan untuk melangsaikan hutang lama dan menanggung anak yang masih belajar,” katanya.
Wanita gigih itu menegaskan, hasil duit kutu bukan saja membolehkannya membeli barang kemas, malah digunakan untuk membeli sebuah rumah berharga hampir RM200,000.
Kamariah berkata, minatnya terhadap barangan kemas sebenarnya diwarisi daripada arwah bapanya, Hanafi Ibrahim yang menjadi tukang emas.
Katanya, kehebatan ukiran arwah bapanya yang terkenal dengan panggilan ‘Napi tukang emas’ memberi laluan mudah kepadanya untuk membeli barang kemas di kebanyakan kedai di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Arwah bapa bersahabat baik dengan seorang perintis emas tersohor di negeri ini. Namun, disebabkan ayah hanya pandai bertukang tapi kekurangan modal untuk membuka kedai emas, saya memanfaatkan kepakarannya dan kini saya pula menjadi ‘ketua kutu’ kepada rakan peniaga lain,” katanya.
Sambil menunjukkan sebahagian barangan kemas miliknya, Kamariah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Yah mendakwa dengan hasil pelaburan itu, dia mampu membesar dan menanggung pelajaran anak hingga ke universiti.
Bagaimanapun, katanya, membentuk pasukan kutu tidak semudah disangka kerana bakal berdepan risiko seperti ahli yang tidak jujur.
“Bermain kutu memerlukan ahli yang boleh dipercayai. Saya sebagai ketua akan memilih ahli daripada rakan peniaga di sekeliling kami.
“Lagipun, kami sudah lama saling mengenali dan kebanyakan mereka ialah peniaga keropok, barangan runcit, buah-buahan dan peniaga kain.
“Kami kenal lebih 20 tahun kerana sama-sama berniaga di pasar sama. Ia juga memudahkan ‘urusan’ mengutip duit kutu setiap hari,” katanya yang berasal dari Tumpat, 10 kilometer dari Kota Bharu.
Hias diri, pelaburan paling utama
SEPASANG suami isteri berpakat membuka kedai emas di Kota Bharu, Kelantan tiga tahun lalu berikutan minat mendalam terhadap perniagaan itu.
Kini Tengku Nor Alani Tengku Alang, 37, dan suami, Muhamad Faris Abdul Rashid, 37, boleh tersenyum puas apabila Putri Jewels semakin mendapat tempat di hati penggemar emas dengan lima cawangan sendiri, selain dua cawangan francais.
Menurut Tengku Nor Alani, kebanyakan masyarakat tempatan gemar menjadikan barangan kemas bukan hanya sebagai perhiasan tetapi turut menjual atau melabur saat harga melonjak di pasaran.
“Boleh dikatakan dalam sehari, kita memperoleh 10 orang atau lebih pembeli emas yang rata-rata menjadikan ia sebagai perhiasan diri atau untuk pelaburan.
“Jangan terkejut jika ada lelaki datang membeli jongkong emas melebihi dua kilogram. Bayangkan harga satu kilogram jongkong emas kira-kira RM170,000 ke atas, jika jongkong yang ada lakaran atau ‘paten’ harganya mencecah RM181,000 sekilogram.
“Kebanyakan pembeli membuat belian bukan hanya untuk satu kilogram. Kalau dilihat gaya pakaian yang sederhana, anda tidak akan percaya mereka mampu membeli emas dalam jumlah sedemikian.
“Kebanyakan mereka adalah golongan peniaga, pesara, guru atau yang tahu selok-belok emas dan mereka akan menjualnya semula apabila harga mencapai sasaran keuntungan.
“Mungkin ketika menjualnya, harga melonjak dan mereka mendapat pulangan maksimum. Itu tidak termasuk mereka yang gemar menjadikan syiling emas (dinar) atau wang perak (dirham) atau pelbagai bentuk koleksi lain untuk tujuan sama.
“Tepuk dada tanya selera dan terpulang kepada individu untuk menyimpan emas mengikut cara masing-masing,” katanya.
Jika Putri Jewels milik pasangan suami isteri, Kedai Emas & Permata Mohd Said, iaitu kedai emas paling lama di Kelantan, adalah legasi perniagaan keluarga.
Seorang anak Allahyarham, Razali Mohd, 59, adalah generasi kedua mengusahakan perniagaan yang dirintis bapanya sejak 1960-an.
Menurut menantunya, Rohani Mohamad, 53, kebanyakan orang di negeri Cik Siti Wan Kembang gemar membeli barangan kemas untuk tujuan perhiasan dan pelaburan.
“Tidak dinafikan, sambutan terhadap jualan emas setiap hari sentiasa ada pembelinya antara 10 hingga 20 orang memandangkan kebanyakan mereka berfikiran jauh.
“Rata-rata masyarakat di sini gemar memiliki emas dan budaya itu tertanam dalam masyarakat sejak dulu sebab ia sungguh berguna kepada pemiliknya.
“Yang menarik, sepanjang berniaga sejak berpuluh tahun dulu, persaingan sesama peniaga sangat positif. Lebih membanggakan, tahun lalu kedai kami mendapat Anugerah Harga Patut disampaikan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob,” katanya.
Sambutan hangat masyarakat Kelantan terhadap emas juga mendorong
syarikat tersohor, Habib Jewels Sdn Bhd, membuka cawangan ke-22 di negeri itu.
Menurut pengurus cawangannya, Rosmayati Harun, ketika pembukaan cawangan itu pada 14 Oktober 2010, jualan melebihi RM200,000 dengan jumlah pelanggan lebih 500 orang.
“Sebenarnya, dalam usia lebih 50 tahun syarikat ini, walaupun ia bermula di Pulau Pinang, kebanyakan ejennya dari Kelantan.
“Untuk itu, inisiatif pembukaan cawangan ini adalah sebagai penghargaan kepada mereka yang gemarkan koleksi Habib yang sentiasa mengikut aliran terkini.
“Pemerhatian terhadap trend pasaran di sini mendapati, mereka membeli emas kerana pelaburan yang dianggap berbaloi dan ramai orang tempatan suka emas 916.
“Namun ada juga yang sukakan permata dan untuk itu promosi terhadap emas mahupun permata sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, terutama musim
cuti sekolah atau perayaan tertentu,” katanya.
Harga emas jarang menjunam
MEMBELI emas sebagai pelaburan sudah lama menjadi amalan wanita di pantai timur, terutama di Kelantan. Jika tidak memiliki walau seurat emas, dia seolah-olah tidak sempurna pada pandangan masyarakat, budaya atau cara hidup golongan Hawa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Jika dulu hanya wanita membeli barang kemas sebagai perhiasan, trend hari ini makin berubah apabila lelaki turut membeli logam berharga itu sebagai pelaburan atau mengekalkan reputasi.
Perkara itu diakui pemilik Dyana Jewels, Datuk Suhaimi Hashim yang berpengalaman lebih 12 tahun di bidang berkaitan dengan meneruskan legasi perniagaan ibunya di Kuala Terengganu dan kini memiliki beberapa cawangan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, gagasan menguasai ekonomi baru dunia memperlihatkan China dan India sebagai negara paling ramai rakyatnya memiliki emas, diikuti Vietnam.
“Kebanyakan rakyat di negara berkenaan menjadikan emas sebagai aset untuk dilaburkan di kala kehidupan susah. Ini kerana mereka percaya emas tidak pernah susut nilai atau menurun.
“Hakikatnya, harga emas jarang menjunam berbanding komoditi lain. Tidak hairan jongkong emas kini menjadi pilihan ramai lelaki yang didorong sifat ingin mengekalkan kekayaan kerana harganya sentiasa stabil di pasaran. Kalau jatuh pun, ia hanya sementara.
“Disebabkan ia pelaburan menguntungkan, emas kini bukan sekadar lambang status diri semata-mata,” katanya.
Suhaimi turut membuat perbandingan antara kereta dengan emas. Sebagai contoh, kebanyakan kereta yang dibeli dengan harga RM100,000 akan susut nilai sehingga RM50,000 apabila digunakan selama lima tahun berbanding emas yang dibeli dengan harga RM20,000 mungkin bernilai RM200,000 dalam tempoh lima tahun lagi.
“Ini menyebabkan permintaan terhadap emas sentiasa tinggi berbanding barangan lain,” katanya.
Sebagai perbandingannya, katanya, harga satu aun emas cuma RM30 ketika beliau mula menceburi bidang itu 12 tahun lalu tetapi kini meningkat tujuh kali ganda.
Mengenai jenis emas, Suhaimi berkata, ‘emas 10’ atau 999 iaitu bersamaan 24k (karat iaitu 99.9 peratus kandungan emasnya (tulen) paling mahal di Malaysia.
Ini diikuti ‘emas 95’ (950) yang juga dikenali sebagai emas pound (23k iaitu 95.4 peratus kandungan emas tulen) dan ‘emas 916’ (22k iaitu 91.6 peratus kandungan emas tulen).
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pembeli memilih emas 916 kerana ia dianggap ‘standard’ sama ada di segi harga atau piawaiannya.
Bagi mengelak ditipu, Suhaimi menasihati bakal pembeli meneliti tanda ‘karat’ pada perhiasan emas dijual, selain tanda atau cop dagangan untuk mengenal pasti pembuatnya.
Menurutnya, di kebanyakan negara, setiap pengeluar barang kemas diwajibkan mengecop simbol karat pada perhiasan emas dan dikawal melalui sistem ‘hallmark’ (cap kempa) yang berasal daripada Goldsmiths’ Hall, London sejak abad ke-14. Peraturan itu diwajibkan di Belanda, Mesir, Britain, Perancis dan Bahrain.
“Di Malaysia, kebiasaannya cop diletakkan di kancu emas sama ada jenis 999, 950, 916. Selain itu, ada juga dicop dengan karat seperti 22k, 18k, 14k. Ada juga dicop bersama tempat pengeluaran barang kemas itu.
“Ia penting kerana jika tiada undang-undang mengawalnya, pengilang akan sewenang-wenangnya mengecop sendiri barang kemas mengikut cop perusahaan mereka, termasuk karat dan ketulenan, tanpa pengawasan. Oleh itu, pengguna mesti bijak dan perlu mengambil resit yang mencatatkan jenis emas dibeli. Jika bercanggah dengan apa yang tercatat pada resit, pembeli boleh membuat aduan,” katanya.
Bagaimanapun, bak kata pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam, Suhaimi mengakui hanya segelintir orang dapat mengenal pasti sama ada emas dibelinya tulen atau palsu.
“Macam saya yang sudah lama di bidang ini, melihat pada jarak tiga meter pun saya dapat agak ia palsu atau tulen.
“Kita boleh lihat di segi warna dan beratnya serta pelbagai cara lain. Yang penting, beli barang kemas di kedai emas, bukan daripada orang sembarangan.
“Ada segelintir individu menawar untuk menjual barang kemasnya kepada orang ramai dengan harga terlalu murah dengan alasan terdesak dan perlukan duit segera. Perbuatan ini sungguh mencurigakan kerana kalau benar-benar perlukan wang, dia boleh menjualnya di kedai emas yang membeli dengan harga tinggi. Ia tentunya menimbulkan syak kerana kemungkinan emas itu palsu,” katanya.
Suhaimi juga menjelaskan, emas perlu dicampur dengan logam lain kerana ia terlalu lembut hingga tidak sesuai dipakai seharian.
“Emas perlu dicampur dengan logam lain supaya lebih keras dan tahan lasak. Menambahkan logam lain sebagai campuran ‘metallurgists’ membolehkan anda menukar warna emas. Paladium atau nikel boleh ditambah untuk mencipta emas putih. Tembaga ditambah untuk menghasilkan warna mawar atau merah muda.
“Saduran emas adalah proses yang menggunakan kaedah elektrolisis. Lapisan emas pada barang kemas yang menggunakan kaedah saduran biasanya lebih nipis berbanding dalam bentuk emas salutan.
“Istilah mencuci emas atau mengilatkan barang kemas setahun sekali menggambarkan lapisan emas yang disadur sangat tipis,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/articles/Beliemasgunaduitkutu/Article/artikelMA
KERAJAAN BIMBANG SKIM PELABURAN EMAS MELALUI INTERNET BAWA KEBURUKAN
BACHOK, 26 Feb (BERNAMA) — Kementerian Kewangan bimbang kemungkinan merebaknya skim pelaburan emas melalui internet yang menjanjikan pulangan tinggi, akhirnya memberi kesan buruk kepada pelabur.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata syarikat yang ditubuhkan di luar negara itu dikatakan memberi jaminan akan memberi keuntungan 10 hingga 20 peratus dalam tempoh yang singkat.
“Peringkat awal mereka benar mereka mendapat pulangan lumayan tetapi kita bimbang pada akhirnya mereka terima kesan buruk apabila tidak mendapat pulangan yang setimpalnya”. Katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen membaja Risda di Kampung Mak Lipah, Pak Badol di sini.
Beliau berkata Kementerian Kewangan tidak pernah mengeluarkan lesen mengenainya dan jika ada yang rasa tertipu mereka boleh membuat aduan kapada Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk diambil tindakan.
–BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=648097
HUKUM PELABURAN EMAS DI BANK MALAYSIA
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
Soalan 1
Assalamualaikum UZAR, Saya nak kepastian dari UZAR mengenai masalah berikut:
Bagaimana pula pelaburan emas Kijang emas yang telah diperkenalkan oleh Maybank? Bagaimana cara selamat mengikut undang-undang Syariah untuk membeli dan melabur gold tersebut? Sila masuk ke maybank2u.com Terima kasih.
Akaun Pelaburan Emas di Maybank atau Public Bank – Pelaburan di Maybank jika mahu boleh dapatkan emasnya tapi di Public Bank tak pasti emasnya boleh dikeluarkan (Tiada yang sumber memastikan yang emas di PB boleh dikeluarkan). Jika mereka dagangkan hanya berdasarkan harga sahaja adakah ianya SAH disegi Islam?
Soalan 2
Saya telah membuat panggilan telefon (Public Bank customer service 1800883323) untuk mengetahui cara-cara urusniaga pelaburan akuan emas ini.
Dari maklumbalas yang diberikan ialah:
Jualbeli emas hanyalah berdasarkan harga semasa dan tidak mewakili emas fizikal.
Keuntungan pelaburan adalah dari perbezaan harga beli dan jual.
Setakat ini nilai pelaburan tidak mewakili emas fizikal dan tiada emas yang boleh dikeluarkan. Mereka ada rancangan perlaksanaan pembelian emas secara fizikal tetapi mungkin tahun depan.
Bagaimana pula Maybank yang Emasnya boleh diperolehi jika ada permintaan.
Minta komen ustaz kerana ramai pengguna-pengguna Islam terkeliru diatas pelaburan ini yang dianjurkan oleh institusi yang disahkan oleh kerajaan.
JAWAPAN
Tidak dinafikan, tatkala nilai matawang USD dan lain-lain semakin tidak menentu ketika ini, membeli emas dengan tujuan pelaburan adalah tindakan positif menurut banyak pendapat. Ini mungkin disebabkan emas yang mempunyai nilai lebih stabil berbanding matawang kertas ( paper or fiat money), ditambah pula dengan permintaan emas yang sentiasa ada.
Bagi mengulas isu yang ditanyakan, setelah merujuk dan melakukan pembacaan maklumat dari web bank yang terbabit, saya berpendapat seperti berikut :-
Apabila seseorang pelanggan ingin membuka akaun pelaburan emas, ia beerti ia bersetuju untuk membeli emas, simpan dan mungkin menjualnya apabila harga emas meningkat.
Oleh kerana itu, hukum bagi sebarang jenis akaun pelaburan jenis emas ini bergantung kepada beberapa keadaan, bagi memberikan sedikit kefahaman kepada pembaca berkenaan keadaan-keadaan berbeza ini, ia adalah seperti berikut :-
• HARAM DAN BATAL : Jika emas itu belum berada dalam pemilikan bank dan hanya akan dibeli daripada pihak ketiga dalam majlis transaksi yang berasingan. Urusniaga pembukaan akaun itu telah menjadi HARAM dan tidak SAH, kerana pihak bank telah menjual emas yang tiada di dalam miliknya dan juga kerana riba telah berlaku apabila tiadanya elemen ‘Taqabud fil Majlis’ (serah terima dalam satu masa), sebarang penangguhan membawa kepada Riba an-Nasiah.
Kesimpulan ; pastikan emas yang ingin dijual mestilah berada dalam pemilikan pihak bank tersebut.
• HARAM DAN BATAL : Iaitu jika emas BELUM atau TIDAK diterima sertamerta ketika membuka akaun pelaburan emas itu.
Sebagai contohnya, pelanggan hanya yang membayar sejumlah wang untuk membeli emas 100 gram dan memulkana akaunnya, namun pihak bank tidak memberikan sebarang bukti pembelian telah termeterai dengan rasminya atau ‘concluded’. SERTA tiada sebarang jenis bukti bertulis yang menunjukkan pelanggan kini menerima ‘hak tasarruf’ (hak kebebasan terhadap sejumlah emas yang telah dibelinya sama ada untuk menjualnya padabila-bila masa yang dikehendakinya).
• HALAL DAN SAH :
Setelah anda membaca dua bentuk yang jatuh haram, sudah tentu anda mampu memeastikan bagaimana bentuk akaun pelaburan emas yang halal dan sah. Iaitu :-
a. Bank memiliki emas yang dijual semasa menjual.
b. Bank memberikan bukti dan hak tasarruf kepada pelanggan sama ada dalam bentuk fizikal emas atau bentuk sijil hak ke atas sejumlah emas (yang telah dibeli), yang mana sijil itu melayakkan pelanggan itu menuntut emasnya secara fizikal pada bila-bila masa yang dikehendakinya. Ini bermakna sijil itu ibarat sebuah kad debit dan cek yang mewakili duit fizikal yang wujud. Penyerahan menggunakan sijil ha milik emas sebagai tanda pembeli dan pembukaan akaun sudah sempurna adalah SAH DAN HARUS di sisi Islam. Ia dianggap sebagai penyerahan tidak fizikal (al-Qabdhu Al-Ma’nawi) Demikian fatwa oleh Majlis Fiqh Antarabangsa dalam keputusan mereka nombor 84, 9/1 (Qararat Wa Tawsiat, hlm 191)
DALAM KES AKAUN PELABURAN EMAS DI BANK ?
Setelah melihat serba ringkas info akaun pelaburan emas di kedua-dua bank terbabit melalui web mereka. Saya kira Maybank menawarkan akaun pelaburan emas yang HALAL dengan TIGA lagi syarat tambahan lagi, iaitu :
1- JANGAN DIGUNAKAN UNTUK AKTIVTI RIBA : mestilah emas sebenar (fizikal) yang berada simpanannya bagi pihak pelanggan tadi TIDAK digunakan untuk kegunaan aktiviti ribawi mereka. Justeru, satu jaminan atau pengesahan dari pihak bank mestilah diperolehi sama ada secara lisan atau bertulis atau disahkan oleh Majlis Syariah bank berkenaan.
Apabila kita menyimpan emas fizikal yang telah kita beli di bank tersebut, aqad simpanan itu juga sepatutnya mesti dikenal pasti dengan jelas. Apakah jenis aqadnya? Adakah ia Wadiah? atau Qard dan sebagainya.
2- JUMLAH EMAS MENCUKUPI KETIKA TRANSAKSI : Mestilah dipastikan wujud jumlah emas mencukupi ketika proses jual beli dibuat pada satu-satu masa.
Maksud saya, sebagai contoh : Bank mempunyai 100 kilo emas sahaja, dalam masa yang sama (satu waktu), 100 kilo emas itu digunakan untuk dua atau lebih pelanggan yang berlainan.
Pelanggan Ahmad membeli 100 kilo emas pada jam 2.30 petang, demikian juga sdr Ah Chong tepat jam 2.30 petang juga membeli dan membuka akaun yang sama di kaunter berlainan, padahal bank hanya mempunyai 100 kilo emas sahaja. Tatkala itu, transaksi orang kedua tidak sah. Hanya yang pertama sahaja yang sah.
3- CARA PEMBAYARAN YANG HALAL : Pembayaran yang dibuat oleh pihak pelanggan pula WAJIBLAH menggunakan sama ada tunai, debit akaun sertamerta, kad debit dan kad kredit Islam bank tempatan, cek tempatan.
Sebarang pembayaran menggunakan cek antarabangsa dan kad kredit Islam yang mengambil masa lebih 3 hari untuk settlement adalah TERLARANG menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa.
Mengapa 3 hari? ia adalah tempoh maksimum menurut ‘uruf bagi memastikan syarat ‘Taqabud fil hal’ tercapai, ia adalah fatwa yang dipetik dari pandangan Mazhab Maliki dan juga fatwa kebanyakan ulama fiqh sedunia, termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah.
4- PEMEGANG AKAUN PELABURAN EMAS MESTILAH MEMBAYAR ZAKAT : Apabila cukup hawl atau tempoh setahun bulan Islam dan apabila nisab simpanannya mencapai atau melebihi nisab wajib keluar zakat emas iaitu 85 gram. Untuk kira-kira buka di sini.
Namun akaun pelaburan Public Bank saya kurang pasti kerana tidak dinyatakan sama ada sijil atau bukti pembelian itu boleh ditukarkan kepada emas fizikal pada bila-bila masa yang dikehendaki. Malah penyoal menyatakan beliau telah menelefon pihak bank dan terbukti sijil atau bukti pembelian itu tersebut TIDAK BOLEH ditukar kepada emas fizikal. Tatkala itu, bagi saya transaksi ini bermasalah dari sudut hukum Islam.
Jika sijil tersebut tidak boleh ditukar kepada emas fizikal, tatkala itu ia memberikan kesan kepada proses ‘Taqabud al-hukmi’ yang disyaratkan dalam jual beli item ribawi dan merosakkan aqad ini, dalam kes ini antara emas dan wang Ringgit Malaysia.
KESIMPULAN
Bagi sesiapa yang ingin membuka akaun ini, saya nasihatkan menyemak terlebih dahulu perkara yang telah saya sebutkan di atas. Ditambah pula, akaun pelaburan emas dan kijang emas ini tidak diletakkan di bawah skim pelaburan Islam maybank dan public bank. Ia sekali lagi menimbulkan tandatanya. Saya tidak ada kemudahan untuk menyemak hal itu ketika ini kerana kesukaran komunikasi dengan pihak bank terbabit, terutamanya berada di perantauan.
Jika anda sudah punyai jawapan kepada syarat dan persoalan yang saya utarakan di atas. Baik jika dapat anda memaklumkan kepada saya dengan tepat dan jitu. Saya juga berminat untuk membuka akaun ini jika semua persoalan di atas telah LULUS.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
22 Oktober 2008
23 Syawal 1429 H
Wales, UK
Petikan info dari maybank2u.com.my
Benefits
Convenience of deposit, withdrawal and closing of GSPA account at any Maybank branch in Malaysia
Introduced by the country’s largest bank, 100% backed by physical gold and in collaboration with the World Gold Council
Cheaper as gold prices quoted are pegged to international gold prices without additional charges
Ability to build a personal gold portfolio by purchasing gold in small amounts (minimum 5gms) regularly over a period of time
Opportunity for capital gain if the price of gold appreciates
Possible hedge against inflation
Who can apply
Individuals
Joint account – maximum 4 persons
How it works
The Gold Savings Passbook Account (GSPA) is an account that lets you invest in gold in a convenient, more secure and cheaper way. You can purchase gold in 999.9 fineness at all Maybank branches at daily quoted gold prices for 1gm in Malaysian Ringgit. All transactions will be recorded in your GSPA passbook.
Whenever you need to, you may conveniently withdraw from the GSPA at the prevailing gold price in the following ways:
Physical gold: Gold Wafers @ 10, 20, and 50 can be withdrawn at selected branches. A conversion charge to cover the shipping and insurance will be charged for the physical gold withdrawal
Gift Gold Certificate: The certificate can be made payable to a third party and is valid for 6 months. The certificate is non-negotiable, non-transferable and non-assignable. Hence, only the registered holders can redeem the certificates
Cash: The amount of gold holdings can be converted to Ringgit Malaysia at the prevailing market price. The amount in RM will be credited into your Maybank deposit account ~
KITA sudah sedia maklum skim pelaburan cepat kaya dan saham hanya menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada mereka yang menyertainya. Antara skim cepat kaya yang paling diingati ialah skim ‘Pak Man Telo’ di samping pelbagai skim cepat kaya yang menjadi sebutan ramai sebelum ini.
Anehnya, rakyat di negara ini masih tidak serik-serik ditipu. Mangsanya pula membabitkan semua peringkat umur, taraf pendidikan dan kedudukan. Ada dalam kalangan profesional, pegawai kerajaan dan berkedudukan tinggi yang pada logiknya, tidak sepatutnya menjadi mangsa.
Pelbagai nama skim cepat kaya menarik pelaburan yang tinggi daripada mereka yang mengharapkan untung cepat. Akibatnya, cita-cita dan impian mendapat kekayaan dengan mudah tidak menjadi kenyataan, sebaliknya terpaksa menanggung bala kemiskinan dan kesusahan. Islam memandang berat soal kemiskinan dan hidup daif kerana ia boleh membawa kepada kekufuran yang boleh mendorong seseorang melakukan perkara ditegah agama.
Sesiapa merampas hak orang muslim dengan sumpah, dia wajib masuk neraka dan haram baginya syurga. – Riwayat Muslim
Sebenarnya mudah untuk kita mengetahui sama ada sesuatu skim itu benar atau satu penipuan. Elemen keuntungan atau dividen yang dijanjikan mestilah ‘logik’ mengikut kadar yang biasa diterima melalui skim sah lain.
Sudah tentu ada yang tidak kena jika pelabur dijanjikan pulangan sehingga 10 peratus sebulan atau melebihi sekali ganda, yakni 100 peratus dalam tempoh setahun. Sedangkan pelaburan biasa hanya memberi pulangan sekitar lima hingga 15 peratus setahun.
Dalam hal ini, kita seharusnya dapat berfikir dengan rasional, mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap dan tidak setimpal dengan usaha dilakukan adalah haram.
Hukum haram amat jelas dalam sistem piramid. Sistem itu hanya menguntungkan pihak berada di atas dan merugikan pihak di bawah. Ia banyak membabitkan unsur penipuan dan helah. Jika ada barang diniagakan, itu hanya helah.
Kisah penipuan skim cepat kaya memang diketahui ramai. Malangnya ramai yang masih tidak mengambil iktibar. Mereka ‘rela’ ditipu. Malah yang pelik ialah orang yang pernah ditipu dan masih rela ditipu untuk sekian kalinya.
Ini kerana modus operandi skim cepat kaya sentiasa ‘disesuaikan’ dengan memasukkan elemen yang mudah dipercayai orang ramai.
Tambahan modus operandi kini turut membabitkan rangkaian antarabangsa. Bakal pelabur dihubungi menggunakan kemudahan internet. Paling banyak berlaku sekarang ini ialah melalui laman sosial. Mereka mudah berhubung tanpa perlu bersemuka yang lebih mudah menabur umpan tanpa risiko dikenali dan dikenakan tindakan fizikal.
Kebanyakan skim cepat kaya rangkaian antarabangsa berselindung di sebalik pelaburan di luar negara. Jadi, pelabur tidak mempunyai banyak maklumat mengenai perniagaan yang dijalankan, tetapi mudah tertarik dengan keuntungan lumayan yang dijanjikan.
Tambahan pula, mereka tidak peduli apa jenis perniagaan itu, asalkan menjanjikan keuntungan berganda dalam masa singkat. Sikap taksub kepada kekayaan banyak membawa padah.
Mereka yang mengetahui kewujudan sistem piramid, tetapi masih meneruskan atas alasan dia berada di atas dan berpeluang mendapat keuntungan lebih tanpa mempedulikan nasib pelabur baru yang dibawa olehnya memasuki skim itu, samalah dia merampas hak orang muslim lain. Sesungguhnya amat besar dosa yang dilakukan itu hingga menghalangnya memasuki syurga.
Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda bermaksud: “Sesiapa merampas hak orang muslim dengan sumpah, dia wajib masuk neraka dan haram baginya syurga.” -(Riwayat Muslim).
Maka berhati-hatilah dalam urusan mencari rezeki. Sebaik-baik cara mencari rezeki ialah dengan bersungguh-sungguh melakukan usaha, biarpun terpaksa berdepan dengan kesukaran. Allah menyediakan seluruh penjuru alam ini untuk dimanfaatkan oleh manusia. – Berita Harian







